Bismillahirrahmanirrahim
Hari ini, selesai sahaja solat fardhu subuh, aku berlari ke Ibrahimeya. Sedangkan ummi sudah berpesan ketika di KLIA supaya jangan berjalan seorang diri. Tapi, memang sudah menjadi tabiat sejak dari kecil aku suka merayau-rayau seorang diri. Tidak mengapa, andai aku yakin, Insya Allah, tidak ada apa-apa akan berlaku. Walaupun pada pukul 6 pagi sebenarnya sunyi namun kerana tiadanya kereta dan orang, aku lebih selesa untuk berlari sekuat hati. Bagaikan jalan aku yang punya seorang dan ditemani kucing-kucing jalanan yang kesejukan di pagi hari.
Setibanya di rumah tepi pantai, aku diberi makan dan minum oleh sahabat-sahabat yang menyambut ramah kedatanganku. Sejak kebelakangan ini, aku tegar ke rumah orang mencari makan kerana makanan di rumah sudah disimpan ke dalam kotak-kotak.
Aku masih teringat-ingat Malaysia. Rasa seperti tidak percaya aku kini di Iskandariah. Aku masih belum puas bersama rakan-rakan di sana. Di mana kami membesar bersama. Kami punya aliran pemikiran yang sama. Di mana segala permasalahan boleh dibawa berbincang dan dikongsi tanpa prejudis. Segala tabiat dan perangai diterima seadanya kerana ikatan sayang persahabatan yg utuh telah terbina. Bersembang bicara dengan kod-kod nombor dan perkataan yang orang aliran lain tidak mungkin akan faham. Di mana frasa-frasa seperti taqarrub, qiyadah, usul 20, iltizam, mubah, futur, ihsan, salim, syumul dan banyak lagi bukanlah bahasa asing bahkan sudah lali sejak bertahun lamanya. Tudung yang dikenakan bukanlah sekadar pakaian buat kami. Ianya simbol akidah, satu cara hidup, tidak kan tergamak dilucutkan, tidak kan tergamak disentengkan. Lebih baik rasanya mati andainya terdedah lantaran malu yang teramat. Namun, hanya kami faham.
Ramai antara kami yang tersungkur, tersimpang jauh tatkala keluar menghadapi hidup. Ingatlah teman, kita semua sama sahaja. Aku, dia, dan mereka masih ada untuk menjadi tempat kau berpaut membina kembali kekuatan diri. Kita kenal sejak kecil bukan? Apalah yang hendak dimalukan. Marilah sama-sama kita menggapai mardhatillah.
Tapi mereka tiada di sini. Dan aku selalu rindu pada mereka ini.
Oh, semester baru sudah bermula. Aku meneruskan hidup seperti biasa.
Mengharapkan yang terbaik buat semester ini, Insya Allah.
Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment